Tuesday, October 16, 2018

Rumah Lama Kita

Pernah tak? Kau merenung ke luar jendela dan menghayati sinaran mentari pagi yang suam sepoi bahasa, kau mula mengingati kembali kenangan lama..sinaran mentari yang sama dengan lajur cahayanya menyinari muka.

Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain..

Rumah lama kita,
Beratap zink sahaja, dengan dinding kayu yang usang, tangga kelabu berbucu terhantuk pedih, sedikit ruang di bawah rumah sebagai reban ayam dan itik, serta pada bahagian dapur binaan batu kekuningan yang dua daun pintunya terbuka mengizinkan angin bersapa.

Rumah lama kita,
Kemas, bersih dan rapi, di sekelilingnya tumbuhan hijau dek tangan abah, dan bunga-bunga kertas kembang mekar warna-warni, dengan butiran pasir yang memutih bak buih-buih kecil hempasan ombak, serta anak sungai kecil beralun di rusuk kiri.

Di bawah pokok belimbing, ada 'gerang' tempat kita bermain, mengutip dedaun dan bebunga untuk dijadikan mainan memasak.
Kadangkala memerhatikan ummi membakar dedaun kering, kita berbaring sambil merenung biru langit, tertanya-tanya bagaimana penghuni syurga tinggal di sana.

Memerhatikan anak-anak ikan bermain sambil mengutip pucuk pakis, dengan bekas plastik menunggu van ikan masuk ke halaman, manakala pada petang hari menghambat ayam dan itik masuk ke reban. Menatap tempat Scabbers bersemadi dari dua jendela, bising bunyi hujan menimpa bumbung tidak pernah menggangu, sesi ke tandas luar menjadi masa berhibur, rutin yang sama kadangkala diulang tetapi sekalipun tidak terasa bosan.

Sinaran mentari yang seperti hari ini, persis 22 tahun yang lalu, di mana mengimbau kembali masa-masa indah di rumah lama yang mungkin tidak dapat di ulang..
Rumah lama kita yang kadang kala hadir dalam mimpi dan kekal menjadi kenangan.

Aku yang masih hidup di dalam memori silam dan tersedar sudah lewat untuk bekerja mengumpul duit pernikahan.

Syuhada Assolihaat Rosli.

Saturday, August 18, 2018

Si Darah Manis


Aku bersyukur,
Kerana ALLAH tak pernah salah dalam menitipkan luka. DIA memberikan luka pada jiwa agar lebih tabah dari sebelumnya, khasiat dari itu hati menjadi lebih sabar, bertawakkal dan bersyukur. Serta senyuman yang lebih lebar dari goresan luka.


Aturan dari ALLAH sungguh indah.
Dia mempertemukan kita tanpa kita jangka, siapa sangka? dan janganlah kita megah dilamun cinta serta alpa diulit perasaan sesama manusia.


Kita hanyalah dua insan yang saling mendoakan, dan disatukan oleh Tuhan..

The end of research 
18/8/18

Tuesday, July 31, 2018

10 Ayat Pertama AlKahfi

Hari ini bermula hari pertama,
Kau mula menghafal Alkahfi,
Sebagai mana permintaan dari bapa,
Sang kekasih hati.

Gagap mu,
Helaan nafas mu,
Sungguh aku hargai,
Dan aku syukuri.

Wahai pemimpin yang penyayang,
Insyallah kau boleh.

Saturday, July 21, 2018

Selamat Hari Lahir Ke 28 Untuk Bulan Di Dalam Hati


Yang namanya indah,
Kau mendamaikan,
Penyabar dan bertoleransi,
Kau lah bulan di dalam hati.

Saat kita berbicara,
Seringkali aku kagum dengan kematangan mu,
Dan setakat ini alhamdulillah,
Semuanya baik-baik sahaja.

Jiwa ini kering,
Sekering dan sekental kali pertama kita bersapa,
Kau juga tahu mengapa,
Betapa kukuh tembok yang aku bina.
Kerana kesungguhan mu,
Mahukan insan yang segala kekurangan,
Tembok itu aku runtuhkan dengan penuh rendah diri.
Keyakinan yang lama hilang,
Kau kumpulkan dan kau bina kembali.

Aku mahu kau tahu,
Untuk masa depan kita bersama,
Aku takut dan aku risau,
Tapi untuk kau ku buang gundah.
Dan aku sentiasa disini,
Bersedia berpanas hujan,
Untuk masa depan kita sekeluarga.

Aku jua tidak tahu,
Bagaimana ujian yang akan datang untuk kita.
Aku hanya mampu berdoa dan bertawakkal kepada yang Maha Esa.
Dan jangan pernah melangkah pergi dari garis hidup aku,
Jika terjadi,
Aku bukan lagi ditinggalkan pergi,
Tetapi akan ditinggalkan mati.

Bertemu dengan mu merupakan antara salah satu perkara yang membuat ku amat bersyukur,
Sungguh..
Aku redha dan aku gembira.

Wahai bulan di dalam hati,
Selamat Hari Lahir ke-28 tahun 

Wednesday, July 18, 2018

Solatku

Dah seminggu,
Aku tertanya kenapa aku masih di takuk yang sama, kesedihan, dada ku sempit, dan fikiran ku kusut, aku beribadah tapi hati masih tidak tenang.
Lalu tanpa henti aku berdoa memohon pada yang Esa, agar bantulah aku..

Aku teringat kepada satu pepatah berbunyi :

"Perbaikilah solat mu agar ALLAH perbaiki hidup mu"

Apa yang aku faham tentang baiki solat adalah dengan memperbaiki tiga rukun utama:

1) Rukun Qalbi - cekalkan dengan hati
2) Rukun Qauli - sebut dengan lisan
3) Rukun Fi'li - jalankan dengan pergerakan

Sedang aku usaha memperbaiki tiga rukun ini, semalam telinga ku tertangkap satu ceramah yang bergema di rumah kami tentang solat di AWAL WAKTU...pada ketika itu, terasa kepala bagai diketuk lantas hati berkata-kata,

"Inilah silap kau"

Pada ketika itu aku sedar, semua yang ALLAH timpakan ke atas aku untuk memberi peringatan kepada ku, dan mungkin ALLAH murka kepada ku.. aku tahu DIA al-Wadud (maha Pengasih), tetapi aku leka, DIA juga al-Mu'mit (maha Pemusnah) dan al-Mu'akhir (maha Penangguh). Aku takut dan aku gentar denganNya, aku berazam mahu berubah dan memperbaiki hubungan ku denganNya.
Doakan aku. 💔

Tuesday, May 8, 2018

Bingkisan Buat Sang Kekasih

Langit yang DIA lakarkan,
Engkau lihat dan terkesan,
Kerana mengagumi ciptaan tuhan,
Engkau rakamkan,
Dan berkongsi kekaguman itu dengan sang kekasih,
Dan terima kasih,
Subhanallah,
Amat cantik..
Gambar dari mu,
Seindah nama mu..
Marilah bersama menjadi pemuja sang pencipta.
(Yang Bernama Indah) 
#kekasihyangbernamaindah

Saturday, March 17, 2018

Luruh

Seperti dentuman kilat,
Menggegarkan dada langit,
Keadaan hati pada hari ini,
Otak gagal mentadbir sendi-sendi.

Rebah,
Terasa jantung luruh,
Terduduk dan air mata gugur,
Apakah lagi keistimewaan orang ini sehingga aku sebegini rupa?
Aku tertanya.
......................
Luruh dan Putus.
Serta Sayang.